Saturday 10 November 2012

Kisah Tolut dan Jalut (pt.1)



* untuk membaca mana-mana post dengan lebih efektif, sila berikan sepenuh perhatian kepada perkataan-perkataan yang dibold, diitalic, ditanda dengan * dan DITULIS DENGAN HURUF BESAR.

Kisah tentang Tolut dan Jalut ini, ALLAH telah ceritakan kepada kita dalam Al Quran (kepada yang sudah ada air solat/wudhu’, dipersilakan untuk mencapai mushaf anda dan tilawahlah bersama sahabat-sahabat anda dahulu). Anda boleh dapatinya kisah ini pada Surah Al Baqarah bermula dari ayat 246-251.

Sebelum kita menelusuri kisah ini, ingin saya sebutkan dahulu watak-watak yang terdapat di dalamnya. Watak-watak  yang kita boleh dapati dalam kisah ini adalah:-

     1) Bani Israel
     2) Seorang nabi dari kalangan Bani Israel
     3) Tolut
     4) Jalut
     5) Nabi Dawud alaihissalam

InsyaALLAH saya akan bahagikan slot penceritaan kepada 4 slot. Dan post kali ini menceritakan tentang slot pertama sahaja.

SLOT 1: BANI ISRAEL DAN NABI MEREKA

أَلَمْ تَرَ إِلَى الْمَلَإِ مِن بَنِي إِسْرَائِيلَ مِن بَعْدِ مُوسَىٰ إِذْ قَالُوا لِنَبِيٍّ لَّهُمُ ابْعَثْ لَنَا مَلِكًا نُّقَاتِلْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ قَالَ هَلْ عَسَيْتُمْ إِن كُتِبَ عَلَيْكُمُ الْقِتَالُ أَلَّا تُقَاتِلُوا قَالُوا وَمَا لَنَا أَلَّا نُقَاتِلَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ وَقَدْ أُخْرِجْنَا مِن دِيَارِنَا وَأَبْنَائِنَا فَلَمَّا كُتِبَ عَلَيْهِمُ الْقِتَالُ تَوَلَّوْا إِلَّا قَلِيلًا مِّنْهُمْ وَاللَّهُ عَلِيمٌ بِالظَّالِمِينَ
[٢:٢٤٦]

Tidakkah engkau (wahai muhammad) perhatikan (ketahui), tentang (kisah) ketua-ketua dari Bani lsrail sesudah (wafatnya) Nabi Musa, ketika mereka berkata kepada seorang Nabi mereka: "Lantiklah seorang raja untuk kamu, supaya boleh kami berperang (bersama-sama dengannya) pada jalan Allah" Nabi mereka menjawab: "Tidakkah harus, jika kamu kelak diwajibkan berperang, kamu tidak akan berperang?," Mereka berkata: "Mengapa pula kami tidak akan berperang pada jalan Allah, sedang kami telah diusir dari kampung halaman kami, dan (dari) anak-anak kami?" Maka apabila perang itu diwajibkan atas mereka, mereka membelakangkan kewajipan itu, kecuali sebahagian kecil dari mereka. Dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui akan orang-orang yang zalim.(Al Baqarah : 246)

* perkataan yang berwarna merah adalah dialog di dalam ayat tersebut.

Kisah ini berlaku setelah kewafatan Nabi Musa. Kisah bermula apabila ketua-ketua dari kalangan Bani Israel merasa perlunya mereka kepada seorang ketua untuk memimpin mereka ke medan perang fi sabiliLLAH nanti.

*Gambar hiasan

Maka pergilah mereka bertemu dengan nabi mereka[*] pada ketika itu. Tujuan meraka ialah supaya nabi mereka itu memilih seorang ketua untuk mereka bagi memimpin mereka ke medan perang fi sabiliLLAH.

Tetapi nabi mereka ini sudah masak dengan sikap mereka yang suka mempersoal perintah dari ALLAH. Lalu baginda mempersoalkan kebenaran tekad, kemantapan niat dan kesungguhan mereka untuk memikul tanggungjawab berat ini iaitu keluar berperang fi sabiliLLAH.

Untuk menunjukkan kesungguhan, mereka memberi alasan dengan mengatakan – macam mana mereka boleh duduk diam tanpa berbuat apa-apa selepas mereka diusir dari negeri mereka sendiri manakala anak-anak mereka pula ditawan oleh musuh.

Dengan kesungguhan yang ditunjukkan, maka mereka berjaya meyakinkan nabi mereka. Tetapi ternyata sangkaan nabi mereka sebelum ini tepat. Selepas perang benar-benar diperintahkan, mereka mengubah pendirian mereka.
Dalam slot pertama ini, kita perlu sedar ada beberapa perkara yang perlu difokuskan.

1)   Perlu fokus pada permulaan perkataan ALLAH pada ayat 246 ini. ALLAH memulakan dengan (أَلَمْ تَرَ إِلَى) yang membawa maksud Tidakkah engkau (wahai muhammad) melihat kepada. Ia seolah-olah ALLAH menyuruh Nabi SAW melihat satu peristiwa yang sedang berlaku dan Nabi SAW sedang menyaksikan peristiwa ini. Ini untuk menunjukkan peristiwa ini berlaku dekat dengannya dan manusia hanya mampu MELIHAT hanya pada sekelilingnya yang dekat sahaja. Paling jauh pun sekitar 500 meter. Sesuatu kemalangan yang berlaku di Amerika tidak akan mendapat liputan yang meluas dari penduduk Malaysia. Tetapi bila kemalangan tersebut berlaku di hadapan rumah, barulah kita akan berusaha untuk tahu; kenapa kemalangan berlaku, berapa orang yang terlibat dan lain-lain. Maka apabila kita membaca ayat ini, berilah perhatian kepada apa yang telah berlaku kepada watak utama dalam kisah ini, iaitu BANI ISRAEL.

2)   Juga perkara yang perlu di fokuskan ialah Bani Israel memberitahu nabi mereka bahawa mereka hendak berperang fi sabiliLLAH. Ini kerana dengan menyebut perang fi sabiliLLAH, ia menimbulkan kesedaran aqidah dalam hati, menimbulkan kesedaran iman dalam jiwa dan menyedarkan perasaan mereka bahawa meraka ini adalah orang yang beragama dan mempunyai aqidah yang benar. Oleh itu, SELURUH amalan kita perlulah dilakukan fi sabiliLLAH dan janganlah melakukan di atas kesamaran tujuan yang membuatkannya tidak tahu ke mana arah tuju amalannya itu.

3)   Perlu juga fokus kepada nabi tersebut mempersoalkan kesungguhan Bani Israel ingin berperang menuntut bela nasib mereka. Perlu kita tahu bahawa ketika Bani Israel melafazkan kesanggupan mereka untuk berperang, mereka sedang berada dalam keadaan aman dan lapang dari kesusahan. Tetapi semangat dan keberaniaan ini hanya ada pada saat lapang dan senang sahaja. Selepas berada dalam kesempitan(disibukkan dengan urusan perang), mereka terus berlepas diri dari apa yang mereka sendiri minta iaitu berperang. Begitulah ALLAH menggambarkan sifat manusia yang berbolak-balik hatinya. Ketika mereka berada dalam keadaan aman dan lapang, bermacam-macam janji manis ditabur. Tetapi apabila berada dalam kesempitan, mulalah hendak beri alasan untuk melarikan diri dari kewajiban. Kesimpulannya, walau banyak mana pun tugasan, janji tetap janji. Janji perlu ditepati. Kalau tidak, jadilah kita seperti Bani Israel.

4)   Seterusnya, perlu difokuskan bahawa ALLAH menggambarkan sifat Bani Israel yang selalu memungkiri janji, lari dari ketaatan, berlepas diri dari tugas dan banyak lagi. Tetapi perlu diingatkan bahawa ini adalah sifat-sifat yang ada pada setiap manusia yang belum cukup tarbiyah imannya. Inilah sifat-sifat manusia yang masih belum bersih daripada kotoran dan masih belum sembuh dari penyakit. Inilah sifat-sifat manusia secara umumnya dan tidak ada yang boleh mengubah semua sifat jahiliyyah ini kecuali dengan tarbiyah imaniyah yang tinggi, panjang masanya dan mendalam kesannya. Oleh itu, manusia perlu ditarbiyah secara cermat dan dibimbing dengan teliti.

5)   Akhir sekali, fokuskan perhatian anda kepada 2 perkara di akhir perkataan ALLAH ini; iaitu PERTAMA, ALLAH mengaitkan perbuatan memungkiri janji adalah satu kezaliman. Ini kerana tujuanNYA adalah untuk mengisytiharkan bahawa MUNGKIR JANJI adalah ZALIM. Ianya satu kezaliman kepada ALLAH, nabiNYA, orang lain malah dia menzalimi dirinya sendiri. Manakala yang KEDUA adalah untuk mengingatkan bahawa DIA MAHA MENGETAHUI orang-orang yang zalim. Ini secara langsung menjadi ancaman bahawa orang-orang yang zalim tidak akan dapat lari dari balasan buruk.

Setakat itu dulu untuk post kali ini. InsyaALLAH kisah ini akan bersambung pada post yang seterusnya. Apa yang baik itu semuanya dari ALLAH. Apa yang kurang adalah dari diri saya sendiri.



[*] PERHATIAN-Tidak perlulah umat Islam bertelingkah tentang siapakah nama nabi tersebut kerana ALLAH sendiri tidak menyebut namanya di dalam Al Quran. Ini untuk menggambar tiada apa-apa kepentingan kepada umat Islam mengetahui nama baginda berbanding pengajaran daripada kisah ini. Maksudnya ALLAH menghendaki kita untuk mengambil pengajaran kisah Bani Israel bukan nabi mereka. Tambahan pula, ramai nabi yang telah diutuskan kepada Bani Israel sepanjang sejarah dunia.

Friday 9 November 2012

Inilah Jalan Nabi Kita


قُلْ هَٰذِهِ سَبِيلِي أَدْعُو إِلَى اللَّهِ عَلَىٰ بَصِيرَةٍ أَنَا وَمَنِ اتَّبَعَنِي وَسُبْحَانَ اللَّهِ وَمَا أَنَا مِنَ الْمُشْرِكِينَ [سورة يوسف : ١٠٨]

Katakanlah (wahai Muhammad): "Inilah jalanku, aku dan orang-orang yang menurutku, menyeru manusia umumnya kepada ugama Allah dengan berdasarkan keterangan dan bukti yang jelas nyata. Dan aku menegaskan: Maha suci Allah (dari segala iktiqad dan perbuatan syirik); dan bukanlah aku dari golongan yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang lain."